Thursday, December 11, 2008

Tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa : 98 Laporan Penduduk

KUALA LUMPUR: Polis menerima 98 laporan daripada penduduk sejak tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa berlaku Sabtu lepas, namun hanya tiga laporan membabitkan kehilangan atau kecurian harta benda manakala yang lain tidak berunsur jenayah.



“Kita terima hanya tiga sahaja laporan mengenai kehilangan barangan di kawasan yang mengalami runtuhan. Tiada lagi laporan lain yang membabitkan kehilangan atau kecurian barang,” kata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar.

Laporan lain termasuk aduan mengenai kediaman musnah, harta benda rosak dan anjing hilang, katanya kepada pemberita di sini hari ini. Sementara itu, laluan alternatif baru yang dijangka siap petang ini, akan ditutup buat sementara waktu dari 12.30 tengah malam hingga jam 2 pagi ini kerana kerja penyelenggaraan dan penyelarasan.

Khalid berkata dalam tempoh tersebut, orang ramai tidak dibenarkan keluar dan masuk ke kawasan itu.

Katanya lagi, pas akses yang diperkenalkan semalam adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan harta benda penduduk terjamin.

“Penduduk yang tidak terbabit dalam arahan pengosongan diberi pas putih manakala yang diarahkan keluar termasuk media memakai pas merah yang perlu dikembalikan semula.

Khalid berkata walaupun operasi mencari dihentikan, polis tidak mengurangkan tenaga kerjanya malah bilangan anggota yang bertugas di kawasan tragedi dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata terdapat kira-kira 500 anggota polis bertugas bagi memastikan keselamatan orang awam dan harta benda terjaga. - Bernama

No comments:

Post a Comment