Thursday, December 11, 2008

Artist - Datuk Aziz Sattar Terima Bantuan

SEJAK tahun lalu, kerajaan menerusi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memperuntukkan RM5 juta untuk Skim Belaan Artis yang bertujuan membantu golongan artis yang ditimpa kemalangan, sakit mahupun meninggal dunia.


Daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta diluluskan dan hingga kini RM500,000 disumbangkan kepada 70 penerima. Antaranya Hussein Abu Hassan, Karim Latif, M Rajoli, Param, Zaiton Sameon, Hamid Gurkha, Kasma Booty, Latif Borgiba, Datuk Yahya Sulong dan Kuswadinata.

Semalam, Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tampil menyampaikan sumbangan menerusi skim berkenaan kepada pelakon veteran Datuk Aziz Sattar yang dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri, Selangor sejak kelmarin akibat sesak nafas.

Aziz, 83, yang popular bersama Tan Sri P Ramlee ketika era filem Melayu di Jalan Ampas, Singapura pada 50-an, kelihatan makin stabil selepas diberi rawatan oksigen menerusi hidung.

Menurut isteri Aziz, Datin Hashimah Delan, suaminya mengalami sesak nafas sejak tengah malam kelmarin hingga menjelang subuh. Bagaimanapun selepas dirujuk pada klinik berdekatan, Aziz dinasihatkan mendapat rawatan lanjut di hospital.

"Dari tengah malam hingga subuh, dia mengalami masalah pernafasan mungkin kerana penat. Namun, selepas solat Aidiladha, dia sempat makan empat potong kek pisang yang mungkin juga menyebabkan pernafasan dia makin semput. Lalu, dia menerima rawatan di sini sebelum dimasuk ke wad.

"Sepatutnya dia dijadualkan pergi ke Sabah semalam kerana terbabit dengan satu ceramah diikuti satu aktiviti lain di Kuching, Sarawak pada Jumaat ini tetapi ia terpaksa dibatalkan.

"Sebelum ini dia menghidap penyakit asma dan kencing manis. Bagaimanapun, pagi tadi (semalam) doktor ada beritahu keadaan dia makin stabil," katanya.

Mohd Shafie yang berkesempatan meluangkan masa lebih setengah jam melawat Aziz turut ditemani pengerusi Finas, Datuk Razali Ibrahim, Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyiddin Mustakim dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Datuk Mustapha Maarof. Pada lawatan itu, sumbangan sebanyak RM10,000 diberikan pada Aziz.

Kata Mohd Shafie, sumbangan berkenaan sebagai satu keperluan dan tanda prihatin kerajaan pada golongan artis yang layak menerima bantuan menerusi skim itu.

HM

No comments:

Post a Comment